AGENDANASIONAL

Pos Malaysia tawar khidmat hantar pulang bagasi jemaah umrah

SHAH ALAM, 31 DIS: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memperkenalkan Perkhidmatan Bagasi Umrah kepada rakyat negara ini yang mengerjakan umrah di Madinah, Arab Saudi mulai 1 Januari 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib berkata, perkhidmatan ini akan memudahkan urusan penghantaran pulang bagasi dan barangan milik para jemaah ke tanah air.

“Melalui perluasan perkhidmatan bagasi ke Madinah, jemaah dapat memanfaatkan servis ini untuk memudahkan penghantaran barang mereka ke tanah air selain membantu mengurangkan beban dan mengelakkan daripada dikenakan caj lebihan bagasi yang mahal.

“Matlamat kami adalah menyediakan pilihan perkhidmatan bagasi yang mudah dan tanpa sebarang keraguan bagi kegunaan jemaah selepas mereka mengerjakan Umrah,” katanya dalam kenyataan.

Pos Malaysia mengenakan caj Riyal Saudi (SR) atau RM20 bagi setiap kilogram (kg) untuk penghantaran ke semenanjung Malaysia dan SR atau RM25 bagi setiap kilogram ke Sabah dan Sarawak.

Dua pilihan pembayaran disediakan iaitu secara tunai dalam matawang SR bagi penghantaran dari Makkah dan Madinah atau melalui kaedah bayar waktu terima (COD) sebaik barangan diterima di Malaysia.

Pelanggan yang memerlukan pembungkusan barangan dalam kotak, perkhidmatan itu turut disediakan untuk memenuhi keperluan jemaah dengan harga berpatutan iaitu bermula daripada SR8 untuk kotak saiz kecil, SR10 untuk kotak saiz sederhana dan SR12 untuk kotak saiz besar tanpa sebarang yuran pengendalian tambahan dikenakan.

Buat sementara waktu, Pos Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengambilan secara temu janji melalui panggilan sehingga kaunter tetap disiapkan.

Pasukan operasi Perkhidmatan Bagasi Umrah Pos Malaysia di Madinah boleh dihubungi melalui 0555 705765 / 0558 826255 / 0556 288220.

“Semua barangan akan dihantar dalam tempoh tujuh atau 14 hari bekerja. Bagi perlindungan bagasi, pelanggan boleh memilih untuk membeli perlindungan insurans yang menawarkan pampasan sehingga 30kg bagi setiap item (bersamaan dengan RM900 atau yang mana lebih rendah) sebagai gantian nilai bagasi, item atau bungkusan yang hilang, dicuri atau rosak.

“Bagi mematuhi peraturan antarabangsa, pelanggan tidak dibenarkan untuk menghantar barangan berharga seperti wang tunai, barang kemas atau barang-barang yang dilarang oleh kerajaan Arab Saudi atau barangan terlarang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.


Pengarang :