BERITA UTAMASELANGOR

387 kes influenza A, tiada sekolah ditutup di Selangor

SHAH ALAM, 15 JAN: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor merekodkan 387 kes influenza A di 10 daerah melibatkan 149 sekolah di negeri ini.

Namun tiada sekolah ditutup setakat maklumat 9 pagi tadi, kata jabatan itu dalam kenyataannya hari ini.

Daerah paling tinggi ialah Klang sebanyak 127 kes daripada 42 sekolah diikuti Petaling Perdana (97 kes daripada 38 sekolah), Sepang (53 kes daripada 12 sekolah), Petaling Utama (23 kes daripada 10 sekolah).

Selain itu, Kuala Langat (17 kes daripada lapan sekolah), Gombak (28 kes daripada 16 sekolah), Hulu Selangor (16 kes daripada lima sekolah), Hulu Langat (10 kes daripada lapan sekolah), Kuala Selangor (8 kes daripada enam sekolah), Sabak Bernam (7 kes daripada tiga sekolah).

Kesemua mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

“Mereka diberi cuti dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari. Pesakit yang menerima rawatan di wad ada yang telah dibenarkan pulang,” kata jabatan berkenaan.

Bagi mencegah penularan wabak itu jabatan menyarankan:

1. Sekolah seluruh Selangor perlu mengaktifkan Bilik Rawatan (sick bay) seawal sebelum persekolahan bermula untuk pengasingan.
2. Pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) wajib menyediakan termometer untuk saringan awal.
3. Mewujudkan pasukan khas penyakit berjangkit yang terdiri daripada PIBG, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pusat Kesihatan Daerah.

4. Mengadakan sesi pendengaran awam, pendidikan kesihatan di semua sekolah dan dijadikan sebagai takwim tahunan.
5. Memasukkan slot penyakit berjangkit dalam taklimat semasa mesyuarat PIBG atau sebarang program bersama ibu bapa.


Pengarang :