SHAH ALAM, 11 JAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui bersendirian di Jalan Taman Megah 2A, Taman Megah di Kajang dekat sini semalam.
Kanak-kanak memakai baju-T berwarna hitam dengan tulisan “Puma” serta berseluar panjang warna hitam itu ditemui jam 2 petang oleh seorang warga emas berusia 70 tahun.
Semasa ditemui kanak-kanak itu berjalan sambil menangis berhampiran sebuah motosikal.
Sehubungan itu, polis menjejaki ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu, kata Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Polis Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan malam tadi.
“Berdasarkan rupa paras dipercayai berbangsa Melayu atau Indonesia dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat.
Kanak-kanak perempuan itu dihantar ke Hospital Kajang untuk menjalani pemeriksaan fizikal menyeluruh sebelum diserah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak itu diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Nurfaezatul Akma Rofiee di talian 017-544 3931.