Aksi pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020.
AGENDASUKANKINI

Permainan luar biasa Zii Jia tewaskan pemain China

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020.

Pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi dan permainan luar biasa pada perlawanan suku akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini semalam dan berjaya menundukkan pilihan ketujuh Shi Yu Qi dari China 12-21, 21-16, 21-19.

Walaupun jelas pergerakan Yu Qi yang agak terbatas kerana masih dibelenggu kecederaan, Zii Jia berkata pemain di ranking kelapan dunia itu bijak menggunakan kemahiran dan pengalamannya hingga menguasai set pertama 21-12.

“Saya pun susah lawan dia sebab boleh nampak pada set pertama saya tidak boleh bermain dengan dia. Masa set kedua, saya ikut perlahan-lahan cuba ikut kepantasan dia. Memang permainan saya luar biasalah.

“Masa saya mendahului, saya gementar tapi saya cuba bercakap dengan diri sendiri beritahu kalau kalah pun, saya terima sebab permainan saya sudah cukup luar biasa. Saya lawan sampai akhir dan tidak sangka pukulan terakhir itu kira mata bertuah juga,” katanya.

Pada perlawanan separuh akhir hari ini, Zii Jia bakal berdepan satu lagi halangan sukar apabila ‘dijodohkan’ bertemu dengan pemain nombor satu dunia Kento Momota pada separuh akhir.

Mengulas mengenai pertemuan itu, pemain kelahiran Kedah berkenaan mengakui agak sukar berdepan dengan Momota kerana pemain itu mempunyai kepelbagaian dalam corak permainannya.

“Permainan luar biasa saya semalam tidak lagi pasti dapat kalahkan Momota kerana cara main lain pula. Kalau dia main rali, kita kena ada tenaga dan stamina yang cukup. Kita tidak tahu lagi apa akan berlaku, saya akan melakukan persiapan yang terbaik.

“Momota nampak senang tapi susah lawan sebab susah hendak matikan (rentak) dia. Sama ada kita kena cepat, pemain yang menyerang cepat macam Ginting (Anthony Ginting-Indonesia) baru boleh kalahkan dia. Kita kena lebih cergas stabil dan kurang buat silap, mungkin boleh menang (dengan) dia,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan Momota tidak cukup cergas dan telah menarik diri daripada Kejohanan Masters Indonesia padaminggu depan.

Sementara itu, pasangan beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bagaimanapun gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Gi Jung-Lee Yong Dae pada perlawanan suku akhir.

Dalam perlawanan yang penuh aksi mendebarkan itu, pasangan negara yang menguasai set pertama 21-19, bagaimanapun gagal bertahan apabila tewas di set kedua 15-21.

Mereka mensia-siakan peluang mengutip mata kemenangan pada kedudukan 20-19, membolehkan pasangan Korea Selatan itu mara ke separuh akhir dengan 22-20 di set penentuan.

– BERNAMA


Pengarang :