Model X70 menjadi penyumbang kepada peningkatan jualan Proton pada 2019.
AGENDANASIONAL

Jualan Proton naik 55.7 peratus kepada 100,821 unit pada 2019

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Proton menjual sebanyak 100,821 unit kenderaan pada 2019, peningkatan 55.7 peratus berbanding jualan pada 2018, disumbang terutamanya daripada model Proton X70 dan Proton Saga.

Ini adalah kali pertama jualan pengeluar kereta nasional itu melepasi paras 100,000 unit sejak 2015.

“Penyumbang kepada pertumbuhan jualan Proton tahun lepas adalah Proton X70, selain peningkatan peratusan dua angka dalam jualan bagi empat model yang dikemas kini yang dilancarkan pada 2019.

“Proton Saga sekali lagi merupakan kereta sedan segmen A paling popular dengan 3,892 unit dijual pada Disember. Jumlah jualan bagi 2019 adalah sebanyak 38,144 unit, bersamaan dengan peningkatan kuantiti 36 peratus,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Proton berkata, jualan semasa Disember adalah yang tertinggi bagi keseluruhan 2019, meningkat sebanyak 112 peratus kepada 11,117 unit berbanding tempoh yang sama pada 2018.

Jumlah ini bersamaan dengan 20.5 peratus bahagian daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada Disember dan juga merupakan kali pertama syarikat itu menjual lebih daripada 11,000 kereta dalam masa sebulan sejak Julai 2014.

Proton berkata, keseluruhan bahagian pasarannya bagi 2019 dianggarkan pada 16.7 peratus, angka tertinggi yang dicapainya sejak 2014.

– BERNAMA


Pengarang :