Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim (kanan) menyerahkan notis kompaun kepada pekerja premis makanan atas kesalahan tidak menampal poster larangan merokok ketika Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di Kompleks Metro Kajang, Kajang pada 2 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Larangan merokok: Pemilik kedai ‘bubble tea’ dikompaun

KAJANG, 2 JAN: Seorang tauke kedai minuman ‘bubble tea’ dikenakan kompaun dan notis hadir ke mahkamah gara-gara tidak mempamerkan papan tanda larangan merokok ketika diperiksa dalam operasi bersepadu di sini, hari ini.

Ketika operasi bermula jam 12 tengah hari itu, premis tersebut tidak mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Peraturan 12 (1)a, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pemilik premis berkenaan dipercayai menggajikan pekerja baharu untuk mengawal operasi perniagaannya dan tidak mengendahkan penguatkuasaan larangan merokok yang bermula sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim bersama pasukan penguat kuasa kesihatan memberi notis kompaun kepada pekerja premis makanan ketika Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di Kompleks Metro Kajang, Kajang pada 2 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ketika pemeriksaan hanya pekerja dan kadangkala mereka (pekerja) baharu tidak tahu berkaitan perintah larangan merokok di premis.

“Bagaimanapun, ini bukan alasan memandangkan pemilik itu seharusnya lebih mengetahui berhubung isu pemasangan papan tanda larangan merokok, lebih-lebih lagi tempoh diberikan agak lama iaitu setahun.

“Sebelum tahun baharu, media massa sudah menguar-uarkan perkara yang perlu diambil peringatan oleh pemilik premis,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Terdahulu, sebanyak 40 premis diperiksa termasuk di sekitar Sungai Chua. Pemeriksaan dilakukan selepas KKM melakukan risikan.

Operasi itu membabitkan 20 anggota diberi kuasa iaitu Pegawai serta Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Khalid berkata, pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak 85 kompaun dalam operasi bersepadu dijalankan terhadap 305 premis makanan di seluruh Selangor setakat malam tadi.

Katanya, daripada jumlah itu, 80 kompaun membabitkan kesalahan merokok dalam premis termasuk enam individu bawah umur dan remaja lelaki berusia 15 tahun.

“Bagi individu bawah umur, mereka dikenakan kompaun sebanyak RM50 dan boleh didakwa ke mahkamah sekiranya tidak membuat pembayaran dalam tempoh sebulan.

“Justeru, kita akan meneruskan operasi ini setiap hari termasuk pada waktu malam bagi tempoh 14 hari pertama sepanjang Januari.

“Pada bulan berikutnya, kita akan mengadakan operasi secara berkala iaitu setiap dua kali seminggu bagi memastikan perokok mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.

KKM menetapkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya secara serentak di seluruh negara mulai semalam dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

KKM turut mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.


Pengarang :