AGENDANASIONAL

PRK Kimanis: Karim Bujang calon Warisan

KIMANIS, 2 JAN: Ketua Bahagian Kimanis Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat pengumuman berkenaan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan, PRK Parlimen Kimanis di Dewan Terbuka Membakut dekat sini, hari ini.

Karim, 67, ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 tetapi kalah dengan marjoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Anifah kemudiannya keluar UMNO, parti komponen BN dan menjadi wakil rakyat bebas.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Shafie berkata, Warisan memilih Karim sebagai calon parti itu selepas melihat perjuangan serta pendiriannya untuk mencabar keputusan bagi kerusi Parlimen Kimanis itu di mahkamah selain merupakan pemimpin politik berpengalaman luas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala penamaan calon pada 4 Januari dan pengundian awal pada 14 Januari.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Sementara itu, Karim ketika ditemui berterima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi Warisan, UPKO dan PAKATAN Sabah atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk kembali bertanding pada PRK itu.

– BERNAMA


Pengarang :