AGENDANASIONAL

Covid-19: Perkhidmatan tren, bas kendalian Prasarana operasi biasa

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Semua perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad beroperasi seperti biasa esok yang merupakan hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan untuk mencegah penyebaran penyakit COVID-19.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi) Muhammad Nizam Alias dalam kenyataan hari ini berkata operasi perkhidmatan akan bermula seperti biasa dengan jadual kekerapan hari bekerja.

Bagaimanapun, pemantauan akan dibuat kemudian untuk memastikan kesesuaian jadual kekerapan yang digunakan.

“Memandangkan perintah pergerakan terhad ini diarahkan buat pertama kali, kami perlu memastikan kekerapan yang sesuai kerana belum dapat memastikan jumlah penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan kami pada hari esok dan sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad ini,” katanya.

Muhammad Nizam berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum sebarang keputusan diambil berhubung kekerapan perjalanan tren dan bas kendalian Prasarana.

Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac yang dilaksana di seluruh negara itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

-BERNAMA


Pengarang :