KUALA LANGAT, 6 MAC: Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang dikesan berlaku pada 28 Februari lalu berpunca daripada pembakaran sisa pertanian dilakukan petani tidak bertanggungjawab, kata EXCO alam sekitar.
Hee Loy Sian berkata pencerobohan sejak puluhan tahun lalu turut dikesan berlaku di Johan Setia, Klang.
“Mereka (petani) membakar ladang selepas menuai tanaman ia menyebabkan kebakaran berlaku pada musim yang sama iaitu Mac atau April,” katanya selepas melawat kawasan kebakaran itu di sini semalam.
Menurut Loy Sian setakat semalam 75 peratus kebakaran berjaya dipadamkan dan dijangka mengambil masa tujuh hari untuk pulih sepenuhnya.
“Bergantung kepada keadaan cuaca kerana kawasan itu adalah tanah gambut, kering susah untuk dipadamkan kebakaran. Kalau hujan dapat padam segera, kalau tidak ia mengambil sedikit masa kerana masih ada kebakaran dibawah tanah,” katanya.
Seramai 148 anggota pelbagai agensi terlibat memadam kebakaran menggunakan kaedah pengeboman air oleh Pesawat CL-415 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang beroperasi dua sesi setiap hari.