Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media sempena program Karnival Tanah Selangor di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Shah Alam pada 9 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jom bayar cukai tanah, tapak tanpa denda pada 14,15 Mac

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Negeri memberi tawaran khas pengecualian fi denda lewat 100 peratus kepada pemilik tanah dan tapak yang mempunyai tunggakan  pada 14 dan 15 Mac ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, tunggakan boleh dijelaskan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di seluruh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) atau di kaunter-kaunter van kutipan hasil bergerak PDT.

“Kutipan cukai di Dataran Kemerdekaan hanya dibuka pada 14 Mac dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang manakala di semua PDT dan van bergerak bermula jam 8.30 hingga 3.30 petang pada 14 dan 15 Mac,” katanya pada sidang media sempena Karnival Tanah Selangor 2020 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pengecualian fi denda lewat hanya diberikan kepada syarikat atau individu yang menjelaskan semua tunggakan.

“Tawaran itu bagi mengalakkan pemilik tanah dan petak segera mebayar tunggakan masing-masing,” katanya.

Katanya, pembayaran cukai terawal di Dataran Kemerdekaan berpeluang mendapat hadiah dan memenangi cabutan bertuah.

Sehingga 2019, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan fi denda lewat RM98.88 juta daripada 732,495 individu dan syarikat.


Pengarang :