AGENSISELANGOR

Amaran banjir dua hari awal tingkat siap sedia

SHAH ALAM, 9 MAC: Amaran banjir dikeluarkan dua hari lebih awal berbanding enam jam membantu jabatan dan agensi berkepentingan dalam pengurusan situasi itu, kata ketua pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Datuk Gapar Asan berkata ia dilaksanakan melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) menggunakan sistem analisis lebih awal berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata, kemarau juga merupakan ancaman menyebabkan bekalan air untuk kegunaan beberapa sektor berkepentingan disebabkan taburan hujan dan sumber air tidak sekata serta peningkatan keperluan terutama di pusat bandar.

“National Water Balance System (NAWABS) di Lembangan Sungai Bernam dan Lembangan Sungai Klang sedang dilaksanakan dengan usahasama peringkat persekutuan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Beliau berkata program itu salah satu mekanisme untuk mengetahui sumber air tersedia yang dapat meramal kemarau dua bulan lebih awal dan amaran 14 hari lebih awal untuk tindakan agensi.

PRABN diwujudkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ekoran banjir besar di lapan negeri pada Disember 2014 yang merekodkan 25 kematian dengan perpindahan melebihi 500,000 dan kos kemusnahan melebihi RM2.85 bilion.

Komponen utama PRABN adalah membangunkan sistem pengesanan data hidrologi, sistem pangkalan data dan infrastruktur ICT; sistem ramalan dan pemodelan banjir serta sistem amaran dan hebahan.


Pengarang :