Petugas bahagian kesihatan MPK sedang menjalankan proses nyahkuman di lokasi menjadi tumpuan awam di sekitar Klang sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 pada 30 Mac 2020. Foto Ihsan MPK
PBTSELANGOR

Lebih 30 premis jalani proses nyahkuman di Klang

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan proses nyahkuman di lebih 30 premis tumpuan awam bagi mencegah penularan wabak Covid-19, kata pengarah kesihatannya.

Azmi Muji berkata kawasan terbabit adalah Ibu Pejabat MPK, Pejabat Tanah & Daerah Klang, Plaza MPK, Hentian Bas Klang Utara, Pejabat POS Klang Utara, Pasar Besar Meru, Pasar Pelabuhan Klang, Pasar Besar Kapar, Stesen Komuter Klang dan Kompleks Sukan Pandamaran.

“Proses itu dilaksanakan 15 petugas bahagian kesihatan sejak 23 Mac lalu yang dibekalkan pam penyembur selain peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai langkah keselamatan.

“Kami menggunakan campuran larutan air dan cecair peluntur. Kita akan meneruskan operasi ini sehingga keadaan kembali selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Klang mencatatkan 62 kes positif Covid-19 adalah antara 15 daerah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai zon merah kerana merekodkan lebih 40 kes.


Pengarang :