SINGAPURA, 10 MAC: Singapura mula mengenakan caj rawatan ke atas warga asing yang dijangkiti Covid-19 selepas mengesan tiga lagi jangkitan baharu termasuk dua membabitkan rakyat Indonesia.
Reuters melaporkan, langkah terbaru itu berkuat kuasa 7 Mac lalu apabila pihak berkuasa berkata dua pelancong Indonesia yang mempunyai simptom jangkitan berkenaan tiba di Singapura.
Kedua-dua warga Indonesia itu mempunyai simptom Covid-19 sebelum tiba, malah salah seseorang daripada mereka pernah dirawat di sebuah hospital di Jakarta.
Satu lagi kes melibatkan warga Singapura yang pernah melawat kakaknya di Indonesia sebelum mengalami radang paru-paru.
Berdasarkan laman web kementerian kesihatan, rawatan jangkitan pernafasan yang teruk di hospital awam di Singapura biasanya menelan kos S$6,000-S$8,000 (RM18,300-RM24,400).
Bagaimanapun, warga asing yang menjalani ujian pengesanan virus itu adalah percuma.
“Memandangkan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia, dan jangkaan peningkatan dalam bilangan kes yang disahkan di Singapura, kami perlu mengutamakan sumber di hospital awam kami,” kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.