EXCO Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Kos baiki Stadium Shah Alam tinggi – EXCO

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerajaan Negeri mengarahkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) segera menyelesaikan isu kerosakan bumbung Stadium Shah Alam, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) membuka banyak kertas kerja bagi memastikan baik pulih bumbung gelanggang keramat skuad Gergasi Merah itu dilakukan dalam tempoh terdekat.

“(Status bumbung) dalam pemerhatian Kerajaan Negeri, malah kita telah mendapat banyak kertas kerja, cuma menunggu masa (untuk kerja baik pulih dimulakan).

“Kelewatan baik pulih kerana kita berdepan kekangan dari segi kos yang besar mencecah RM20 juta (baik pulih bumbung) dan RM180 juta untuk keseluruhan stadium selain memerlukan kepakaran,” katanya kepada SelangorKini.

Ditanya mengenai aksi seterusnya Red Giants bagi perlawanan di gelanggang sendiri, Khairuddin berkata pihaknya menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi memutuskan perkara itu.

Sebelum ini, Selangor berisiko tidak boleh bermain di Stadium Shah Alam untuk saingan Liga Malaysia musim ini berikutan keuzuran gelanggang sehingga memaksa FAS membuat pertukaran aksi kedua menentang Perak ke Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 Mac lalu.


Pengarang :