Petugas daripada pelbagai agensi melakukan operasi sanitasi menggunakan dron bagi membendung penularan Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Ramal Dalam, Kajang pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

12 mukim di Selangor kekal zon merah, Kajang masih tertinggi

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 12 daripada 56 mukim di Selangor masih dikategorikan zon merah apabila mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19, kata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) negeri.

Angka CPRC sehingga jam 12 tengah hari semalam menunjukkan mukim Kajang dalam daerah Hulu Langat terus merekodkan jumlah tertinggi dengan 148 kes . Berlaku dua pertambahan kes berbanding kelmarin iaitu 146 kes.

Hulu Langat juga bertambah dua kes menjadi 144 kes, Damansara meningkat enam kes kepada 128 kes, manakala Klang tiga kes kepada 121.

Bagi Petaling berlaku penurunan empat kes kepada 114 manakala Bukit Raja, Ampang dan Hulu Kelang tidak berubah dan kekal 105, 68 dan 50 kes.

Cheras, Kapar, Dengkil dan Batu masing-masing bertambah satu kes kepada 54, 50, 49 dan 44 kes.

Selain itu, dua mukim masih kekal ditakrifkan berada dalam zon jingga iaitu Serendah (27), Rawang (26).

Sebanyak 25 mukim dikategorikan dalam zon kuning antaranya Batang Kali dan Labu dengan 17 kes, Beranang (15), Kuang (12), 11 kes di Semenyih dan Tanjung 12 (1), Jeram serta Setapak (10), Ijok (sembilan), Bagan Nahkoda Omar (lapan) dan masing-masing tujuh kes di Pancang Bedena, Tanjung 12 (2) termasuk Teluk Panglima Garang.

Enam kes di Sabak Bernam, Batang Berjuntai (lima) manakala Kuala Selangor dan Hulu Bernam (tiga), Sepang (dua) serta satu kes masing-masing di Pasir Panjang, Sungai Panjang, Ampang Pecah dan Kalumpang.

Zon hijau yang tiada kes adalah mukim Hulu Yam, Pasangan, Api-Api, Hulu Tinggi, Hujung Permatang, Bandar, Batu (daerah Kuala Langat), Jugra, Kelang, Morib, Buluh Telur, Kerling, Kuala Kalumpang, Pertak, Rasa, Sungai Gumut, Sungai Tinggi dan Hulu Semenyih.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.

Semalam, Selangor merekodkan 1,316 kes keseluruhan Covid-19 dengan pertambahan 17 kes baharu, 21 kes di Unit Rawatan Rapi dan kekal 11 kematian.


Pengarang :