EXCO pertanian Ir Izham Hashim menyerahkan insentif bantuan pertanian kepada wakil jabatan dan agensi Kerajaan Negeri di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 pada 29 April 2020. Foto Facebook Ir Izham Hashim
EXCOSELANGOR

2,400 warga agro Selangor terima bantuan pertanian – EXCO

SHAH ALAM, 30 APRIL: Insentif bantuan input pertanian bernilai RM1.5 juta di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 akan memanfaatkan 2,400 warga agro negeri ini, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata simbolik majlis penyerahan bantuan dilaksanakan semalam dan ia akan diagihkan melalui jabatan atau agensi berkaitan.

“Bantuan akan diagihkan kepada penerima dalam bentuk benih, baja, baucar pembelian minyak petrol, peralatan serta bahan mentah.

“Antara yang menerima bantuan ialah petani, pesawah, penternak lembu, kambing, arnab, puyuh, penternak akuakultur, nelayan laut dan darat serta usahawan asas tani (agropreneur) yang semuanya hampir 2,400 orang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, bantuan akan diserahkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor, Jabatan Pertanian Selangor, Jabatan Veterinar Selangor, Jabatan Perikanan Selangor, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang Selangor dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Selangor.

“Diharapkan insentif bantuan input pertanian ini dapat meringankan beban warga agro yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia sekali gus memberi galakan untuk mereka meningkatkan hasil usaha dalam bidang masing-masing,” kata beliau.


Pengarang :