Pelajar dan kakitangan UPM menjahit sut PPE bagi disumbangkan kepada staf Pusat Kesihatan Universiti.
AGENSISELANGOR

Pelajar, kakitangan UPM jahit 100 sut perlindungan diri sehari

SHAH ALAM, 30 APRIL: Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Makmal Teknologi Pakaian Fakulti Pengajian Pendidikan menghasilkan 100 unit sut perlindungan diri (PPE) sehari, kata dekan fakulti itu.

Prof Dr Samsilah Roslan berkata PPE tersebut untuk membantu kakitangan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang bertugas mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata seramai 20 pelajar dan kakitangan UPM terlibat menjahit sut PPE sejak pertengahan Mac lalu.

“Apabila wabak Covid-19 mula banyak, sut PPE semakin mendapat permintaan tinggi sehingga bekalannya sukar dibeli.

“Justeru, kita mengambil inisiatif menjahit sendiri di makmal teknologi yang dilengkapi dengan 32 mesin jahit industri, enam mesin jahit tepi, dua mesin jahit lubang butang dan satu mesin pemotong fabrik,” katanya dalam kenyataan.

Dr Samsilah berkata beliau berterima kasih kepada Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr Aini Ideris yang menyokong projek dilaksana demi memastikan petugas barisan hadapan PKU mempunyai alat perlindungan diri mencukupi.


Pengarang :