SHAH ALAM, 25 APRIL: Seramai 99 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad berbanding 51 kes baharu hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes telah pulih sehingga jam 12 tengah hari, hari ini adalah 3,762 kes daripada jumlah keseluruhan 5,742 kes.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,882 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 16 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Katanya terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan kumulatif sebanyak 98 kes iaitu 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.