Anggota tentera memasang kawat besi bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk penghuni di Selangor Mansion ketika tinjauan pada 7 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan diperketatkan di Selangor Mansion, Malayan Mansion

SHAH ALAM, 7 APRIL: Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur diisytihar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berkuat kuasa hari ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan PKPD itu dilakukan berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di kedua-dua bangunan tersebut.

Katanya, PKPD itu melibatkan lebih 5,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan dilaksanakan sehingga proses pengesanan kes dari unit ke unit selesai.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta patuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru, Ismail Sabri berkata dengan pelaksanaan perintah itu semua penghuni dan pelawat tidak dibenar keluar masuk malahan laluan di kedua-dua bangunan itu juga ditutup.

Beliau berkata semua aktiviti perniagaan juga dihentikan kecuali premis barangan keperluan di bangunan tersebut manakala penghuni masih boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar dan diambil di tempat ditetapkan.

Kawasan tersebut dikawal ketat oleh polis, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan PKP DBKL di talian 03-4026 7222 atau 016-296 2982.


Pengarang :