AGENDANASIONAL

Kerajaan rangka pelan rancakkan semula aktiviti ekonomi

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.

Menurutnya, pelan tersebut bertujuan memastikan aktiviti ekonomi dapat dipulihkan semula dengan pantas selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) berakhir.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen malam ini.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan akan turut menimbang untuk membuka beberapa sektor dan sub-sektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat ketat untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat.

Garis panduan serta syarat- syarat yang terperinci akan diberikan kepada para pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :