AGAMAAGENSISELANGOR

PKP bukan penghalang imarahkan Ramadan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Walaupun tidak ke masjid serta surau untuk solat fardu dan tarawih berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak sepatutnya menjejaskan pengisian Ramadan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata inilah masa ketua keluarga mengambil kesempatan mengelola dan memimpin perjalanan ibadat fardu dan sunat serta bentuk ibadat umum yang perlu dilakukan oleh isteri dan anak-anak ketika Ramadan sepanjang PKP.

“Ayah dan ibu hendaklah menggalakkan dan memantau anak-anak untuk membaca dan mentadabbur (menghayati) Al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat sebelum atau selepas solat fardu.

“Banyakkan solat sunat, mengerjakan solat malam setiap hari secara istiqamah walaupun sedikit. Paling kurang solat tahajud dua rakaat dan sunat witir satu rakaat,” katanya menerusi catatan kepada umat Islam di Selangor Sempena Ramadan yang dimuat naik di Facebook Jais.

Mohd Shahzihan berkata ketua keluarga hendaklah mendidik ahli keluarga mereka bahawa Ramadan bukan bulan pesta makan sehingga menyebabkan malas untuk melakukan ibadat.

Jangan jadikan Ramadan tahun ini bulan pembaziran dan budaya ini perlu dibuang kerana ia sangat ditegah oleh agama Islam,” katanya.

Dalam catatannya, beliau turut meminta umat Islam meningkatkan amal ibadat di rumah pada 10 akhir Ramadan melalui amalan berjemaah bersama keluarga, zikir, bertaubat dan membaca AI-Quran.

Beliau berkata, hanya pada bulan Ramadan sahaja Allah SWT menghadiahkan satu malam yang dinamakan Lailatur Qadar.

“Sesiapa yang menghidupkan malam itu ia bersamaan melakukan ibadat tersebut selama 1,000 bulan atau lebih 83 tahun,” katanya.


Pengarang :