Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengimamkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 24 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak rakyat Selangor bina `kita yang baharu’

SHAH ALAM, 24 MEI: Suasana Aidilfitri yang berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tahun ini membuka peluang untuk keluarga mengeratkan ukhwah selepas mengharungi madrasah Ramadan, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pandemik Covid-19 mengajar masyarakat supaya lebih bersyukur dan mengamalkan resam baharu selain mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Saya mengajak diri saya dan semua untuk mengambil kesempatan daripada ujian Covid-19 ini untuk kita membina ‘kita yang baharu’.

“Membina kita yang lebih menghargai dan meluangkan masa bersama keluarga, membina kita yang lebih mengambil tahu dan bekerjasama dengan masyarakat di kejiranan, membina kita yang lebih teliti dalam menjaga kesihatan, membina kita yang bersatu padu dalam keadaan senang dan susah,” katanya ketika menyampaikan khutbah Hari Raya Aidilfitri bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat dan Membina Kita Yang Baharu’.

Terdahulu Amirudin melaungkan takbir raya dan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dan keluarga di Kediaman Rasminya hari ini.

Selaras tatacara mengekang penularan wabak disarankan, semua ahli keluarga Menteri Besar mengamalkan penjarakan sosial ketika menunaikan solat berjemaah.

Selesai solat, Amirudin sekeluarga yang sedondong mengenakan pakaian ungu mengambil kesempatan merakam gambar kenangan di pagi Aidilfitri dan saling bermaafan sebelum menikmati juadah.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan keluarga selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam pada 24 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :