Pekerja pasar raya, Syazwan Abd Ghani, 22, menyusun pelita buluh yang dijual di sebuah pasar raya di Alor Mengkudu pada 16 Mei 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ucapan raya ADN: Kukuhkan ukhwah dalam norma baharu

SHAH ALAM, 24 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada seluruh umat Islam di negeri ini. Berikut ucapan mereka:

Semoga sambutan Aidilfitri kali ini kita manfaatkan bersama sanak-saudara dengan menyesuaikan keadaan norma baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Walaupun sambutan kali ini lain daripada kelaziman namun yang penting semua kekal sihat dan selamat. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Ng Suee Lim, Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri
Sekinchan

Setinggi-tinggi syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri pada tahun ini walaupun dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai, menandakan kejayaan kita setelah sebulan berada dalam madrasah Ramadan. Marilah kita memulihkan dan mengukuhkan muafakat sesama kita dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan dan mengeratkan hubungan silaturrahim.

Buanglah yang keruh ambil yang jernih, mudah-mudahan dengan cara ini hidup kita sentiasa berada dalam keberkatan. Akhir kata, saya dan seisi keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin buat seluruh umat Islam khususnya rakyat di DUN Sementa.

Dr Daroyah Alwi, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli
Dewan Negeri Sementa

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tahun ini disambut agak ‘istimewa’ dan sedikit berlainan kerana kita menyambutnya dalam negara berdepan penularan Covid-19. Sambutlah hari mulia ini bersama keluarga tersayang dengan mengamalkan norma baharu yang tidak akan menjejaskan kemeriahan lebaran. Jangan lupa jaga penjarakan sosial dan utamakan kebersihan dalam kita menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Rizam Ismail, Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli
Dewan Negeri Sungai Air Tawar

Aidilfitri tidak pernah hilang serinya hanya kerana kita tidak dapat pulang ke kampung atau menghadiri rumah terbuka bagi menziarahi keluarga. Juga tidak kurang ertinya dengan tidak dapat bersalam-salaman. Marilah kita menghayati makna sebenar hari raya dengan menginsafi mereka yang kurang bernasib baik, mensyukuri nikmat yang ada, serta mengingati mereka yang dekat atau jauh mahupun yang telah pergi.

Selamat hari raya buat semua, terutamanya warga Tanjung Sepat. Sepuluh jari tanda maaf saya hulurkan. Maaf Zahir & Batin.

Borhan Aman Shah, Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh muslimin dan muslimat. Raikanlah kemenangan perjuangan melawan nafsu kita dengan tahmid dan takbir. Terus kekal selamat di rumah. Jaga jarak anda.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir & Batin kepada seluruh rakyat beragama Islam khususnya di DUN Permatang. Aidilfitri kali ini pasti berbeza dari tahun-tahun sebelumnya berikutan Covid-19 namun kita masih boleh memperkukuhkan ukhuwah seiring dengan penyesuaian norma baharu.

Manfaatkan sebaiknya teknologi dan medium untuk berkomunikasi selain amalkan jarak fizikal, menggunakan pelitup muka, cuci tangan dan menjaga kebersihan diri. Semoga hari raya ini tetap disambut dengan penuh kemeriahan dan keceriaan.Tetap menjaga keselamatan diri walau di mana juga berada.

Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Negeri Permatang

Walaupun Hari Raya Aidilfitri sedikit berbeza pada tahun ini kerana masih berperang dengan Covid-19, tetapi asalkan hati bersama, perayaan ini tetap mesra dan bermakna. Izinkan saya memohon maaf atas sebarang kesilapan.

Saya tetap akan cuba sedaya upaya untuk lakukan terbaik demi rakyat. Semasa beraya, ingatlah untuk mengamalkan norma baharu demi menjaga kesihatan diri sendiri, ahli-ahli keluarga dan sahabat sekalian. Akhir kata, saya berdoa agar negara kami tetap aman, dan rakyat Malaysia akan diberkati Tuhan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir &  Batin.

Michelle Ng Mei Sze, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya

Salam Lebaran, Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat beragama Islam. Semoga perayaan ini disambut dalam suasana gembira di samping keluarga. Dalam norma baharu, saya berharap semua mengamalkan penjarakan sosial dan tidak pulang ke kampung halaman masing-masing demi mengawal penularan wabak Covid-19.

Salam dihulur tanda ingatan,
Moga ukhwah sentiasa berkekalan;
Selamat Hari Raya Aidilfitri saya titipkan,
Buat keluarga dan juga kenalan.
R Rajiv, Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing

Walau Corona melanda dunia,
Syawal tetap kunjung tiba;

Bermaaf-maafan di hari raya,
Eratkan silaturrahim sesama kita.

Covid-19 virus berbahaya,
Ujian untuk semua manusia;
Bersederhanalah di hari raya,
Raikan bersama keluarga tercinta.

Syawal ini sangat mencabar,
Melawan Corona yang berbahaya;
WhatsApp medium bertanya khabar,
Selamat hari raya daripada saya.
Azmizam Zaman Huri, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang

Kelapa muda dicari ramai,
Kelapa tua elok dikukur;
Lebaran tiba bersama damai,
Dapat bersua panjatkan syukur.

Berbutang gangsa bercincin perak,
Tersisip rapi keris Bengkulu;
Walau terpaksa menjaga jarak,
Namun di hati dekat selalu.

Bunga api di tengah dataran,
Menyala terang merah delima;

Saya ucapkan salam lebaran,
Moga amalan Tuhan terima.

Edry Faizal Eddy Yusof, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua

Kedatangan Syawal kali ini benar-benar berbeza. Namun, kita tetap meraikan ketibaannya bersama walaupun dengan pergerakan terbatas. Semoga Syawal sebagai bulan kemenangan setelah kita berjaya melaksanakan perintah Allah, akan disusuli dengan kemenangan kita dalam menghadapi penularan Covid-19.

Terus tingkatkan pematuhan aspek keselamatan dan penjagaan kesihatan yang digariskan. Buat rakan-rakan barisan hadapan, kami berbangga dan berterima kasih atas jasa bakti anda. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, mohon Maaf Zahir &  Batin kepada seluruh umat Islam.

Mohd Sany Hamzan, Ahli Dewan Negeri Taman Templer

Alhamdulillah kita dapat melaksanakan tuntutan rukun Islam yang ketiga dengan sebaik-baiknya walaupun dalam suasana berbeza selepas menempuhi pelbagai cabaran berikutan pandemik Covid-19. Sempena Aidilfitri, saya menyeru seluruh rakyat di Selangor terutama di DUN Hulu Kelang agar terus menjaga jarak sosial selamat bagi mengelakkan jangkitan wabak ini. Semoga lebaran tahun ini memberi seribu makna dan
kenangan manis kepada kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.

Saari Sungib, Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang

Tersusun rapi sepuluh jari,
Bunga melur si bunga melati;
Ucapan dihantar pengganti diri,
Mohon maaf setulus hati.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor yang telah bekerjasama dan #DudukDiRumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Terima kasih juga kepada penjawat awam Kerajaan Negeri dan petugas barisan hadapan yang gigih melaksanakan amanah dalam tempoh yang mencabar ini.

Semoga Aidilfitri ini menjadi lebih bermakna dikelilingi oleh keluarga tercinta dan insan tersayang walaupun kita sedang mengharungi norma baharu akibat pandemik Covid-19. Pastikan kita sentiasa mematuhi saranan Kementerian Kesihatan terutama dengan menjaga jarak sosial ketika berkunjung ke rumah jiran dan saudara.

Semoga kita berjaya mengharungi cabaran ini dan menang melawan Covid-19. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Lim Yi Wei, Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku

Pujian tidak terhingga ke hadrat-Nya atas kejayaan melepasi ujian ketaatan dan ketaqwaan di dalam Ramadan kali ini. Aidilfitri adalah detik meraikan kejayaan dan kesungguhan mencapai darjat taqwa seorang Muslim yang beriman. Semoga ketaqwaan akan terus berpanjangan.

Salam Aidilfitri untuk semua terutama warga Taman Medan. Maaf Zahir & Batin.

Syamsul Firdaus Mohamed Supri, Ahli Dewan Negeri Taman Medan

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan jika ada salah dan silap atau keterlanjuran bicara. Semoga tarbiyyah Ramadan yang kita sama-sama lalui kali ini menjadikan kita seorang muslim yang lebih baik dan bertaqwa kepada Allah.

Sambutan Aidilfitri tahun ini mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya. Kita masih lagi dalam medan memerangi musuh wabak Covid-19 yang tidak kelihatan.

Ada antara kita yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, namun raikanlah Aidilfitri kali ini dengan penuh kesyukuran, bersederhana dan menginsafi ujian yang kita semua hadapi ini.

Manfaatkan kemudahan teknologi dan aplikasi internet dalam kita berhubung menghulur salam kemaafan serta mengucapkan salam Aidilfitri kepada keluarga, rakan dan taulan sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.  Selamat Hari Raya Aidilfiti, Maaf Zahir & Batin.

Datuk Mohd Imran Tamrin, Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang

Tahun ini kita semua menyambut Syawal dalam suasana yang cukup berbeza dari sebelum ini. Selain menjalani ibadah puasa Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kita juga turut meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam fasa perintah kawalan.

Pastinya, sambutan Aidilfitri pada kali ini sedikit mencabar kerana kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu yang membataskan pergerakan serta amalan sosial yang kita lazimi sebelum ini. Manakala kita berbahagia meraikan Aidilfitri di samping keluarga tersayang, jangan sesekali kita alpa dalam memastikan pematuhan terhadap langkah-langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19.

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.

Najwan Halimi, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik

Cahaya Ramadan berlalu pergi,
Menyambut tibanya Aidilfitri;
Ampun maaf segala peri,
Semoga ikatan kekal di hati.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia.

Jamaliah Jamaluddin, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Sentosa yang saya sayangi dan hormati. Walaupun kita dinasihati meraikan secara sederhana dan tidak dapat balik kampung seperti kebiasaannya, saya percaya kehadiran keluarga terdekat di rumah sudah pasti lebih istimewa kerana dapat meluangkan masa
bersama.

Tangan dihulur maaf dipinta,
Erat hubungan sesama kita;
Semoga gembira di hari mulia,
Salah dan silap haraf dimaafkan.
Dr G Gunaraj, Ahli Dewan Negeri Sentosa

Saya dan pasukan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kota Damansara mengucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya.

Maaf Zahir dan Batin. Jaga keselamatan dan ingat kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat. Kekal berada di rumah dan keluar apabila perlu sahaja.

Shatiri Mansor, Ahli Dewan Negeri Kota Damansara

Ramadan adalah satu perjuangan. Syawal adalah satu kemenangan. Sambutlah Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang dan tidak lupa nasihat diberikan bagi mengekang penulara Covid-19.

Sentiasa jaga kebersihan dan jaga penjarakan sosial. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Ahmad Mustain Othman, Ahli Dewan Negeri Sabak

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat DUN Batang kali walaupun pandemik Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya. Patuhi perintah kawalan pergerakan dengan kekal berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting yang tidak dapat dielakkan. Penghargaan juga barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis, tentera dan lain-lain yang bekerja keras.

Terima kasih kepada Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari yang prihatin nasib rakyat terutama dalam memerangi Covid-19.

Harumaini Omar, Ahli Dewan Negeri Batang Kali

Semoga ibadat kita selama sebulan diterima Allah dan tarbiah sebulan akan membuahkan hasil menjadikan insan yang lebih bertaqwa. Saya ingin mengambil kesempatan memohon Maaf Zahir dan Batin kepada semua kenalan dan warga Meru khususnya atas sebarang kesilapan dan kekurangan daripada pihak saya.

Aidilfitri adalah hari kemenangan buat mereka yang beriman dan berjaya melaksanakan titah perintah Allah. Semoga kebaikan dianugerahkan kepada kita dunia dan akhirat.

Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, Ahli Dewan Negeri Meru

Sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza buat saya kerana tidak dapat menziarah rumah rakan Muslim seperti tahun-tahun lalu kerana kita masih dalam tempoh melawan Covid-19. Bagaimanapun, silaturrahim kita pasti kekal erat. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Lee Kee Hiong, Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri khasnya kepada umat Islam di DUN Banting. Semoga semua dapat menyambut hari lebaran ini dengan penuh kesyukuran dalam keadaan sihat, sejahtera dan bahagia. Mohon Maaf Zahir & Batin.

Lau Weng San, Ahli Dewan Negeri Banting

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh muslimin dan muslimat. Tahun ini kita meraikan Aidilfitri dalam keterbatasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai, maka bersederhanalah dan bersama kita patuhi arahan Kementerian Kesihatan dalam mencegah penularan Covid-19.

Saling bermaaf-maafan dan kekalkan semangat persaudaraan serta hormat-menghormati sesama kita yang berbilang bangsa serta agama. Semoga Allah menerima amalan kita sepanjang Ramadan.

Juwairiya Zulkifli, Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati

Tangan dihulur maaf dipohon,
Tanda ikhlas mensucikan diri;
Salah dan silap harap diampun,
Semoga berbahagia di Aidilfitri.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Mohd Shaid Rosli, Ahli Dewan Negeri Jeram

Dengan hati yang tulus dan ikhlas, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang mengenali diri ini khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Walaupun tahun ini kita diuji oleh Allah tetapi yakinlah akan ada hikmahnya yang lebih baik berbanding dugaan kita lalui sekarang ini. Salam kemaafan dan sama-sama kita berdoa agar Allah mengampuni segala dosa-dosa kita serta sentiasa dalam rahmat-Nya.

Halimey Abu Bakar, Ahli Dewan Negeri Seri Setia

Tahun ini kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan norma baharu seperti mengurangkan perhimpunan dalam jumlah ramai, kerap membasuh tangan, penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan sentiasa duduk rumah. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir dan Batin.

Tony Leung Tuck Chee, Ahli Dewan Negeri Pandamaran


Pengarang :