Petugas dan pelatih Madrasah Darul Solihin Al-Qadiri menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan mengamalkan penjarakan sosial ketika tinjauan di Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 di Shah Alam pada 24 Mei 2020. Umat Islam kali ini menyambut hari lebaran dengan suasana yang berbeza apabila solat sunat Aidilfitri dilakukan di kediaman masing-masing ekoran penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Umat Islam harus buang sifat buruk sebar berita palsu – Jais

SHAH ALAM, 24 MEI: Umat Islam Selangor diseru menginsafi ujian Covid-19 dan kembali mensyukuri nikmat walaupun sambutan Aidilfitri kali ini berlangsung dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam mengamalkan norma baharu, sambutan kali ini perlu dijadikan permulaan dalam meneruskan kehidupan yang terbaik sebagaimana yang dituntut Islam.

“Rapatkan hubungan silaturrahim sesama sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat handai kerana Allah dengan cara yang dibenarkan.

“Jangan jadikan Syawal sebagai bulan pembaziran makanan dan melakukan semula pelbagai dosa.

“Buang segala sifat buruk yang telah kita lakukan seperti menyebarkan berita-berita palsu ataupun menabur fitnah.

“Semoga usaha kita dalam meningkatkan kesedaran ini akan menjadikan kita insan yang insaf diri dan menuju reda Ilahi,” demikian petikan khubat Hari Raya Aidilfitri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Dengan tajuk ‘Eidul Fitri: Menginsafi Diri Menuju Redha Ilahi’, umat Islam hendaklah menginsafi diri dengan istiqamah dalam melakukan perintah dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Selain itu, umat Islam turut diseru sentiasa bersabar dan memperbanyakkan solat agar mendapat pertolongan Allah sepanjang masa.


Pengarang :