Tiga kenderaan terlibat kemalangan menyebabkan laluan di Kilometer 257.1 Lebuh Raya Utara Selatan, selepas Terowong Menora mengalami kesesakan teruk pada 18 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengambilan alkohol bawah had tetap berisiko terlibat nahas – Miros

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Percaya atau tidak, pengambilan hanya setin minuman keras yang mengandungi lima peratus alkohol masih mampu memberi kesan kepada kestabilan fikiran dan kewarasan individu ketika memandu.

Lebih malang, pengambilan alkohol di bawah had yang dibenarkan itu juga sering menjadi punca kematian pemandu serta pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata gangguan kepada kefungsian fizikal dan daya fokus terutama ketika memandu tetap terjadi meskipun pengambilan alkohol pada kadar minimum.

“Meskipun bacaan kandungan adalah pada kadar 0.02g/dl, kesan ke atas individu tetap ada iaitu kehilangan pertimbangan, perubahan mood dan juga penurunan fungsi visual,” katanya kepada Bernama.

Malah dalam kajian Miros sebelum ini mendapati pemanduan di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemanduan bebas alkohol.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga merekodkan sepanjang tempoh lima tahun iaitu dari 2014 hingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca daripada kemalangan melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI).

Khairil Anwar berkata berdasarkan Seksyen 45G(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas: 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

Katanya, penetapan had kandungan itu adalah berdasarkan kepada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Jelasnya, had itu adalah had yang dibenarkan oleh kerajaan sekiranya seseorang itu mengambil minuman beralkohol dan seterusnya memandu kenderaan.

“Malaysia adalah antara negara yang menetapkan had minimum yang agak tinggi berbanding negara Asia yang lain seperti Thailand dan Singapura.

“Had minimum yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sebanyak 0.05g/dl,” katanya.

Bagaimanapun, Khairil Anwar berkata lebih baik individu yang mengambil minuman itu tidak memandu bagi menjamin keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Beliau juga menyarankan individu yang di bawah pengaruh alkohol supaya menggunakan perkhidmatan ‘daikou’ iaitu perkhidmatan pemandu upahan bagi mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

“Namun mengelakkan daripada meminum minuman tersebut adalah lebih baik,” tegasnya.

– BERNAMA


Pengarang :