Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada peniaga di Pasar Awam Taman Megah di Petaling pada 28 April 2020.
AGENDANASIONAL

Covid-19: 15 kes baharu di Selangor, mukim Ampang Pecah zon kuning semula

SHAH ALAM, 20 MEI: Selangor merekodkan 15 kes baharu Covid-19 dengan lima membabitkan kes import daripada keseluruhan 31 kes di negara ini setakat jam 12 tengah hari tadi.

Lima kes import berkenaan adalah empat kes dari Jepun dan satu kes dari Mesir.

Daerah Hulu Selangor mencatatkan kes baharu tertinggi dengan empat kes hasil saringan warga emas di Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu.

Satu kes kontak rapat dan satu kes saringan dikesan di Pasar Batu Arang menjadikan daerah Gombak merekodkan dua kes baharu diikuti tiga kes di Hulu Langat serta satu kes di daerah Petaling.

Setakat ini, bilangan kes kumulatif di Selangor meningkat kepada 1,665 daripada jumlah keseluruhan 7,009 di Malaysia.

Negeri lain yang turut mencatatkan kes baharu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 10 kes, dua kes di Wilayah Persekutuan Putrajaya manakala masing-masing satu kes di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Daripada 31 kes baharu wabak, 10 daripadanya adalah kes import.

Sementara itu, pertambahan kes baharu mengubah status mukim Ampang Pecah kembali ke zon kuning manakala mukim Hulu Kelang pula diisytihar bebas daripada kes aktif yang menjadikannya dikategori zon hijau.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor memaklumkan, mukim Ampang Pecah merekodkan tiga kes aktif daripada keseluruhan lima kes hari ini.

Daerah Kuala Langat kekal sebagai zon hijau tunggal di Selangor manakala lapan daerah lain berstatus zon kuning.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.


Pengarang :