SHAH ALAM, 19 JULAI: Lima pusat pemindahan banjir di Sepang masih dibuka membabitkan 77 keluarga dan 314 mangsa sehingga jam 4 petang tadi.
Ketua unit pengurusan bencana negeri (UPBN) berkata pusat pemindahan masih aktif adalah Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jenderam Hilir, Dewan Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil dan Sekolah Rendah Agama Dengkil.
“Di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil pula jumlah keluarga dan mangsa masih dalam bancian,” kata Ahmad Fairuz Mohd Yusof ketika dihubungi SelangorKini.
Beliau memaklumkan semua tiga pusat pemindahan di Hulu Langat ditutup selepas 31 keluarga dibenarkan pulang.
Sebanyak 41 kawasan di lima daerah mengalami banjir kilat sejak petang semalam.
Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi dengan 22, diikuti Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang.