EXCO Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman (belakang, dua dari kanan) dan Ng Sze Han (belakang, tiga dari kanan) serta Dato’ Haris Kasim (belakang kanan) meninjau proses permohonan permit penjaja sementara dalam program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Contohi MBSA, PBT disaran buat program susun semula peniaga

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disaran mencontohi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan mengadakan program penyusunan semula peniaga dan penjaja kecil.

EXCO pembangunan usahawan berkata pelbagai perkara boleh ditambah baik dengan mendapat maklum balas terus dalam program seumpama itu terutama dalam mendepani cabaran perniagaan era digitalisasi.

“Saya mencadangkan supaya Majlis Perundingan Peniaga, Peniaga Kecil dan Penjaja diwujudkan di peringkat PBT dan pertemuan seperti ini boleh dibuat sekurang-kurangnya setahun sekali bagi membolehkan kita mendapat lebih maklumat berhubung perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.

“Selain itu, kita juga boleh memberikan latihan kepada peniaga bukan sekadar untuk berniaga semata-mata tetapi memanfaatkan peluang dalam era digitalisasi,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi.

Beliau yang berkesempatan meninjau perkembangan Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh yang berlangsung selama dua hari turut menyambut baik inisiatif dilakukan MBSA.

Hari pertama program menerima sambutan menggalakkan apabila dihadiri lebih 200 peniaga dan penjaja kecil tidak berlesen sekitar Sungai Buloh.

Program tersebut menampilkan empat wakil melibatkan Jabatan Pelesenan (cara permohonan permit penjaja sementara), Jabatan Bangunan (tatacara permohonan permit binaan bumbung sengkuap), Jabatan Perancangan dan Kebersihan (kebenaran merancang binaan tambahan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran (keselamatan makanan).


Pengarang :