Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 kembali catat kes dua angka

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Kes Covid-19 hari ini kembali mencatat dua angka dengan 10 kes iaitu lapan kes import dan dua penularan dalam negara berbanding lima kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara dan tujuh bukan warganegara iaitu dari India dan Filipina.

“Daripada dua kes penularan dalam negara, satu melibatkan warganegara yang dikesan di Kedah daripada saringan bergejala, manakala kes bukan warganegara dikesan di Selangor iaitu kes saringan tahanan pendatang asing tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 9,306 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 151 kes.

Katanya, selain itu terdapat 36 kes yang pulih dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 9,030 kes atau 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat lapan orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 125 kes, iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Beliau juga berkongsi data ketibaan pengembara di Malaysia sehingga 27 Ogos iaitu seramai 106,793 orang dengan 904 daripadanya dikesan positif Covid-19 iaitu kadar positiviti sebanyak 0.85 peratus.

Daripada jumlah positif yang dikesan itu, tiga kes tertinggi adalah daripada Indonesia iaitu sebanyak 295 kes atau 32.6 peratus) diikuti Mesir dengan 93 kes (10.3 peratus) dan Singapura 70 kes (7.7 peratus).

“Malaysia akan terus memperketat aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di pintu masuk antarabangsa negara bagi memastikan jangkitan di luar negara dapat disekat,” katanya.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini dan cuti hujung minggu panjang, beliau menasihatkan masyarakat mengelakkan sebarang perhimpunan besar-besaran dan terus mengamalkan kebiasaan baharu.

“KKM juga ingin menekankan bahawa pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat sesak dan sempit oleh pihak Majlis Keselamatan Negara mulai 1 Ogos lalu terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan,” tegasnya.

-BERNAMA


Pengarang :