ADNSELANGOR

Michelle: Penduduk USJ 5/1 terima tiga jenis beg kitar semula

SUBANG JAYA, 23 OGOS: Sebanyak 784 rumah di USJ 5/1 di sini dibekalkan tiga jenis beg kitar semula bagi membudayakan amalan pengasingan sisa sampah dari rumah secara sistematik, kata ahli dewan negeri Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata beg kitar semula berlainan warna (hijau, kuning dan biru) memudahkan pemilik kediaman mengasingkan bahan buangan seperti kertas, plastik dan aluminium.

“Penduduk perlu mengasingkan sampah ke dalam beg kitar semula dan meletakkannya di hadapan kediaman masing-masing sebelum dipungut pekerja kontraktor setiap Ahad.

“Inisiatif ini diharap membantu penduduk mengenal pasti bahan yang boleh dikitar semula,” katanya pada pelancaran program At-Source Recycling fasa pertama di Padang USJ 5 semalam.

Difahamkan, sejumlah RM8,232 diperuntukkan untuk menjayakan inisiatif itu dengan setiap beg kitar semula berharga RM3.50.

Pada masa sama, Michelle merancang untuk memperluas projek itu ke seluruh kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai usaha memupuk kesedaran penjagaan kebersihan di kawasan kejiranan.


Pengarang :