SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor memerlukan lebih ramai kekuatan bakat dalam menambah baik ekosistem teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group Kamarul A berkata pelan jangka panjang itu sejajar dengan perkembangan teknologi yang bergantung kepada data dalam penciptaan produk.
“Ini (bakat berkualiti) adalah sesuatu yang patut ditekankan jika mahu berdaya saing. Berdasarkan pengalaman kami, tahap sedia ada sekadar memenuhi keperluan industri dalam negara.
“Malah, bakat dimiliki sekarang kebanyakan terdiri daripada junior tetapi (bakat) senior yang ada pendedahan dan pengalaman luas masih belum mencukupi,” katanya pada sesi dialog Belanjawan Selangor 2021 Sindiket D: Penciptaan Kekayaan di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.
Mengambil contoh krisis gangguan bekalan air di Selangor, beliau berkata Kerajaan Negeri perlu memanfaatkan penggunaan robotik seperti dron untuk menjalankan pengawasan sepanjang masa kerana mampu menjimatkan kos.
“Apabila melakukan ini (penggunaan dron), kosnya lebih rendah berbanding menggunakan kaedah tradisional. Malah, kita dapat mengekalkan bakat ini untuk keperluan masa hadapan,” katanya.