SHAH ALAM, 17 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyerahkan barangan pembelajaran kepada dua taska tambahan diwujudkan Kerajaan Negeri.
Yang dipertuanya berkata sumbangan peralatan iaitu kertas lukisan membolehkan anak petugas barisan hadapan ditempatkan di situ mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.
“Barangan lain diberikan adalah pelitup muka.
“Melalui lawatan hari ini, Pekawanis turut melihat barangan lain diperlukan memandangkan taska ini didirikan dalam masa singkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan. Tujuh lagi taska akan dilawat dalam masa terdekat,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada pemberita.
Terdahulu, isteri Dato’ Menteri Besar itu melakukan lawatan ke taska tambahan di Hospital Shah Alam serta di bangunan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Oktober lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pengaktifan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.
Lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.