Kelihatan keadaan banjir di sekitar Kemaman yang dirakamkan dari udara pada 22 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir: Terengganu kini dalam tempoh ‘bertenang’

KUALA NERUS, 24 DIS: Selepas banjir gelombang keempat berakhir semalam, Terengganu kini berada dalam tempoh ‘bertenang’ dan cuaca diramalkan berkeadaan baik tanpa berlaku sebarang hujan lebat yang berterusan.

Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu Rosli Zakaria berkata tempoh ‘bertenang’ yang bermula semalam dijangka berterusan untuk beberapa hari ini.

“Berdasarkan tinjauan kira-kira seminggu ke hadapan, tidak kelihatan tanda-tanda hujan lebat berterusan akan berlaku. Hujan masih dijangka berlaku mungkin pada sebelah pagi atau petang tetapi ianya tidak lebat dan berterusan,” katanya kepada Bernama di sini.

Rosli berkata bagaimanapun, penduduk di negeri ini masih perlu berwaspada memandangkan fasa Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bermula November lepas dijangka hanya akan berakhir Mac 2021 dan sepanjang tempoh itu hujan lebat masih boleh berlaku bila-bila masa.

Dalam pada itu, Rosli tidak menolak kemungkinan terdapat episod hujan lebat bermula sekitar hujung tahun atau awal tahun hadapan namun masih terlalu awal untuk pihaknya memberi sebarang amaran atau meramalkan negeri yang terlibat dengan keadaan cuaca tersebut.

“MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) akan terus memantau keadaan semasa. Semua pejabat meteorologi negeri dan pejabat meteorologi utama iaitu stesen-stesen pemantauan kita beroperasi 24 jam sehari dan kita sentiasa kemas kini maklumat terkini terutama kepada sekretariat pengurusan bencana negeri,” katanya.

Beliau berkata pihak Pejabat Meteorologi Terengganu juga sentiasa berkomunikasi dengan semua agensi pengurusan bencana di negeri ini terutama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menyalurkan maklumat mengenai keadaan cuaca terkini supaya langkah kesiapsiagaan dapat diambil.

“Kita guna pelbagai platform yang tersedia seperti aplikasi WhatsApp dan telefon supaya kami sentiasa kekalkan komunikasi berterusan dalam menyampaikan maklumat,” katanya.

Banjir di Terengganu menyaksikan gelombang pertama bermula pada 17 hingga 19 November lepas manakala gelombang kedua bermula pada 23 November hingga 2 Disember.

Gelombang ketiga banjir bermula pada lewat malam 2 hingga 9 Disember lepas. Seminggu selepas itu, banjir gelombang keempat pula berlaku pada 17 Disember dan tamat semalam.

– BERNAMA


Pengarang :