Mohd Rashidi Ruslan mengangkat sumpah jawatan sebagai pemangku Datuk Bandar Shah Alam di Wisma MBSA, Shah Alam pada 19 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA agih RM200,000 bantu golongan susah sepanjang Ramadan, Aidilfitri

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntuk kira-kira RM200,000 bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pemangku Datuk Bandar berkata bantuan dikhususkan kepada keluarga berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, orang kelainan upaya dan warga emas.

“Kita juga rancang bantuan dipanjangkan kepada pelajar Univeristi Teknologi Mara bagi memastikan tiada yang terputus bekalan makanan,” kata Mohd Rashidi Ruslan dalam sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, dana diperoleh hasil kutipan caj beg plastik oleh pasar raya 99 Speedmart dan sumbangan pihak tertentu yang dikumpul sejak bulan lalu.

Bermula 8 Februari, pihak berkuasa tempatan itu melaksana program Bakul Prihatin bagi menyalurkan bantuan makanan dan nutrisi bayi kepada golongan kurang berkemampuan.

Program dengan kerjasama 99 Speedmart turut mengalu-alukan orang ramai membeli baucar pakej makanan asas atau nutrisi melalui 80 cawangan pasar raya terbabit di seluruh pentadbiran MBSA.

 


Pengarang :