KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Bekas jaguh bina badan negara mahu lebih banyak pihak swasta tampil menghulurkan bantuan kepada atlet dan bekas atlet di negara ini.
Datuk Abdul Malek Mohamed Noor atau lebih dikenali Malek Noor berkata hasrat itu perlu selepas mengambil kira kemunculan atlet pelapis yang semakin bertambah.
“Kita banyak bergantung kepada bantuan kerajaan tetapi semakin hari semakin ramai atlet baharu.
“Oleh itu, kita di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengalu-alukan para dermawan tampil hulur bantuan,” katanya.
Bekas juara Asia sebanyak enam kali dalam kategori ‘heavyweight’ itu antara 500 penerima sumbangan makanan tambahan kepada atlet dan bekas atlet oleh Kerajaan Selangor di Foyer Yakeb, Bukit Kiara di sini semalam.
Selain itu, atlet para ping pong, Mohamed Firdaus Sabudin berpendapat sebagai ahli sukan perancangan itu penting dalam menghadapi situasi luar jangka pada masa akan datang.
“Menjadi atlet bagi saya pendidikan amat penting kerana kita perlu ada persediaan memandangkan kita tidak tahu bila cedera atau sampai bila kita diperlukan,” katanya.
Selain itu, atlet menembak, Nur Atikah Adelina Md Azral, turut menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan berharap sumbangan seumpama itu diteruskan.
“Makanan tambahan ini amat membantu dan cukup untuk kami sekurang-kurangnya sehingga sepanjang Ramadan,” katanya yang telah menceburi sukan menembak seawal usia 12 tahun dan berazam sertai Sukan Sea pada masa akan datang.