Gambar hiasan menunjukkan tangkapan suspek. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas menyamar pegawai kanan polis untuk rentas negeri ditahan

SHAH ALAM, 9 MEI: Tindakan seorang warga emas menyamar sebagai pegawai kanan polis untuk mendapatkan kelulusan permohonan rentas negeri membawa padah apabila dia ditahan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berusia 65 tahun datang ke balai polis bagi memohon permit rentas negeri.

“Suspek mengaku bergelar ‘Datuk’ dan berpangkat asisten komisioner polis tanpa menunjukkan sebarang bukti identiti sebagai pegawai kanan polis, sebaliknya menunjukkan gambarnya memakai seragam lengkap di telefon pintar.

“Anggota bertugas ketika itu meminta suspek mengemukakan sebarang dokumen yang menunjukkan dia adalah pegawai kanan polis namun dia gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, susulan itu suspek ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang kad identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai penjawat awam.

“Suspek ditahan reman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. Orang ramai diingatkan supaya mematuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk permohonan rentas negeri dan daerah,” katanya.


Pengarang :