SHAH ALAM, 10 JUN: Selangor sedia berkongsi pengalaman menjayakan Saringan Komuniti kepada umum menerusi terbitan video dan makalah, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau akui banyak cabaran sejak awal pelaksanaan program itu bermula daripada kurang sambutan sehingga kini lebih 1,600 individu sertai saringan secara percuma itu.
“Pengalaman itu sangat berharga dan kita sedia kongsikan kepada umum, kita sedang siapkan video dan makalah mengenai bagaimana saringan ini diatur.
“Selain itu, kita akan berkongsi cabaran dilalui kerana jika tersilap langkah lokasi saringan itu mungkin boleh jadi tempat perebakan sekiranya tidak mengawal SOP (tatacara operasi piawai) dengan baik dan memberi arahan jelas kepada mereka suspek positif Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk Pakej Kita Selangor 2.0: Strategi Tangani Covid-19, Perkukuh Ekonomi di Astro Awani malam tadi.
Kerajaan Selangor menjalankan program saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri.