ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri beramah mesra dengan seorang warga emas yang selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Pulau Indah pada 27 Jun 2021. Foto Facebook Azmizam
AGENDANASIONAL

CITF: Tarikh mula vaksinasi ‘walk-in’ warga emas akan dimaklum

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini menjelaskan bahawa tarikh pelaksanaan dan maklumat lanjut berhubung kaedah vaksinasi ‘walk-in’ atau jumpa terus untuk warga emas di Lembah Klang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, CITF menasihati mereka yang berusia 60 tahun ke atas bersama pengiring yang tidak mempunyai janji temu vaksinasi supaya tidak hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) esok.

“Ini untuk membolehkan perancangan inisiatif ini dimuktamadkan, seperti urusan logistik serta penghantaran bekalan stok vaksin di semua PPV,” menurut CITF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

“Sama penting ialah merancang susunan waktu inisiatif walk-in ini untuk mengelakkan kesesakan di PPV terutamanya bagi warga emas ketika jumlah kes jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan kaedah vaksinasi walk-in untuk warga emas berusia 60 keatas itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :