Kerja penggantian injap baharu di Warta Lama, Jalan Kuching siap sepenuhnya pada jam 2 pagi, 31 Mac 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air 144 kawasan pulih 76 peratus setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 31 MAC: Pemulihan bekalan air 144 kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur susulan injap bocor di Warta Lama, Jalan Kuching mencapai tahap 76 peratus setakat jam 12 tengah hari ini.

Air Selangor menerusi Facebook memaklumkan bantuan air alternatif melalui lori tangki terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal.

“Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

“Pengguna yang telah mendapat bekalan air disaran menggunakan air secara berhemat bagi memastikan kawasan-kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air mengikut jadual,” katanya.

Kerja pembaikan injap bocor di Warta Lama, Jalan Kuching yang menjejaskan 144 kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur siap dilaksanakan jam 2 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan bekalan air disalurkan ke premis pengguna secara berperingkat memandangkan tempoh pemulihan bekalan air berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain mengikut lokasi serta jarak premis pengguna.

Pada Selasa (29 Mac), Air Selangor memaklumkan kerja pembaikan injap bocor dijangka siap 9 malam pada 30 Mac tetapi disebabkan hujan lebat, kerja pembaikan tertangguh sehingga 2 pagi hari ini.

Perkembangan terkini gangguan bekalan air akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi dan laman web Air Selangor di www.airselangor.com.

 


Pengarang :