EXCO infrastruktur Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek naik taraf Jalan Tanjong Karang-Sabak Bernam siap 26 Mac ini

SHAH ALAM, 16 MAC: Projek naik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mac ini.

EXCO infrastruktur berkata laluan yang merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 52 kilometer itu dikendalikan kerajaan pusat sepenuhnya.

“Tiada sebarang peruntukan tambahan disediakan Kerajaan Negeri memandangkan ia projek kerajaan persekutuan. Cuma ada sesi libat urus dengan Jabatan Kerja Raya dengan mencadangkan penambahbaikan.

“Antara cadangan penambahbaikan ialah pemasangan lampu dan pengurangan had laju bagi memastikan tidak berlaku kes kemalangan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung status naik taraf FR5 dan peruntukan tambahan Kerajaan Negeri dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Tambah Izham, Kerajaan Negeri akan mengadakan kempen kesedaran bersama pusat khidmat masyarakat berkaitan dalam masa terdekat dalam usaha meningkatkan keselamatan penduduk setempat.

“Sebahagian penduduk sepanjang jalan ini masih beranggap laluan tersebut masih biasa sedangkan ia sebahagian lebuh raya. Ini yang kita bimbangkan terutama apabila WCE beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, projek yang bermula pada 27 Julai 2015 dan siap sepenuhnya pada 25 Jun tahun lalu itu membabitkan dua pakej pembinaan iaitu Fasa 1 (5km) Sabak Bernam ke Hutan Melintang dan Fasa 2 (45km) Tanjong Karang ke Sabak Bernam.


Pengarang :