EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

41 atlet Selangor diserap ke program pelapis kebangsaan

SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 41 atlet negeri yang tidak disambung kontrak sebagai atlet negara bakal diserap semula ke program pelapis kebangsaan berdasarkan prestasi semasa.

Keputusan bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor pada 1 Mac lalu bagi memastikan atlet berkenaan sentiasa aktif berlatih, jelas EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Rugi bagi atlet program pelapis kebangsaan kerana usia mereka masih muda dan memerlukan latihan konstruktif, apatah lagi mereka terdiri daripada yang terbaik.

“Atlet ini perlu sentiasa diberi sokongan moral untuk berlatih lebih gigih serta meningkatkan prestasi supaya layak ke Sukan Sea, Asia dan Komanwel tahun ini,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat, Mohd Khairuddin menjelaskan atlet yang tidak disambung kontrak tetapi layak menyertai Sukan Malaysia (Sukma) akan diberikan elaun.

Tambahnya, atlet terbabit boleh meneruskan latihan bawah persatuan sukan masing-masing selain dipertimbang mewakili negara jika mampu memperbaiki prestasi.

“Platform khusus juga disediakan kepada atlet yang ingin menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi menerusi kerjasama antara MSN Selangor dengan Universiti Selangor, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pengurusan dan Sains,” katanya.


Pengarang :