Suasana bazar Ramadan Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 3 Mei 2021. Foto Facebook Polis Daerah Petaling Jaya
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor sedia hampir 12,000 tapak bazar Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri menawarkan 11,967 petak kepada peniaga bazar Ramadan pada tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kesemua tapak niaga disediakan di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu setelah mempertimbangkan keseriusan penularan Covid-19 varian Omicron yang merebak di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Setakat ini, menurutnya, sebanyak 9,720 daripada 10,783 permohonan diluluskan dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatat bilangan tertinggi iaitu 2,219 diikuti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) (1,790) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) (1,031).

“Kita menyarankan peniaga tidak berjaya memperoleh petak di kawasan diminta segera memohon di PBT lain yang masih menawarkannya seperti di Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

“Kerajaan Negeri sangat menggalakkan aktiviti perniagaan di bazar Ramadan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjana dan memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini lima PBT telah selesai memproses semua permohonan iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), MPKj dan MPKL.

Menurutnya, dua daripadanya mencatat jumlah melebihi tawaran tapak iaitu MPKj dengan 1,790 berbanding 1,780 tapak dan MPSp 622 (541) selain MPS 2,219 (1,782).

“Peniaga dan pengunjung diingatkan sentiasa mematuhi garis panduan kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membendung penularan
wabak Covid-19,” katanya.

Sze Han menambah, peniaga digalak membuang minyak masak terpakai di dalam tong disediakan PBT dengan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan di beberapa lokasi bazar Ramadan demi menjaga kelestarian alam sekitar.


Pengarang :