SHAH ALAM, 5 APRIL: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatur waktu sesuai untuk sesi debat dengan Datuk Seri Najib Razak dalam isu kontroversi Sapura Energy Bhd.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) juga berharap perdebatan dengan bekas perdana menteri itu disiarkan menerusi media secara meluas.
Katanya, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang juga pengarah komunikasi KEADILAN diarah untuk menyelaraskan tarikh dan masa program tersebut.
“Saya telah meminta Ahli Parlimen Lembah Pantai, saudara Fahmi Fadzil untuk menyelaras serta memperincikan dengan pihak Dato’ Seri Najib Razak berhubung tarikh dan masa sesi debat khas soal negara dan Sapura.
“Beliau juga telah diminta berbincang dengan pihak media terkait liputan penganjuran debat tersebut yang bagi saya harus disiarkan secara meluas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mencabar Najib berdebat bagi membahaskan isu syarikat SEB.
Cabaran itu dibuat selepas Najib menggesa kerajaan menyelamatkan SEB yang mencatatkan kerugian lebih RM8 bilion, selain isu gaji ketua pegawai eksekutifnya yang begitu lumayan.
Susulan itu Najib berkata beliau sedia menyahut cabaran debat Rafizi tetapi perlu disertai Anwar dan semalam Anwar menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Najib.