Orang ramai membeli barang keperluan harian pada program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah di empat lokasi pada Sabtu, Ahad

SHAH ALAM, 5 APRIL: Program Jualan Prihatin Rakyat diteruskan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung minggu ini, maklum ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dr Mohamad Khairul Mohamad Razi berkata cadangan lokasi program tersebut pada Sabtu adalah di Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya manakala Ahad di Kota Damansara serta Kuang.

“Bagaimanapun, lokasi spesifik akan dimuktamadkan esok. Orang ramai yang berada di kawasan berhampiran dijemput datang membeli pelbagai produk disediakan,” katanya kepada Selangorkini.

Program jualan murah diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah kesinambungan inisiatif jualan murah yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.

 

 


Pengarang :