Pemain beregu wanita Malaysia, Anna Ching Yik Cheong dan Teoh Mei Xing. Foto BAM
AGENDASUKANKINI

Anna-Mei Xing kejutkan pilihan kedua, mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Perlawanan serentak dengan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, memberikan kelebihan kepada beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing bangkit untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022, hari ini.

Pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena Bukit Jalil di sini tertumpu kepada aksi Zii Jia, beregu wanita bukan pilihan negara itu tidak tertekan dengan sokongan penonton, malah berjaya mengejutkan beregu pilihan kedua, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

Walaupun tewas set pertama 18-21, beregu negara itu tidak mudah mengalah apabila menampilkan aksi memberangsangkan untuk menang 21-12 dan 21-15 dalam pertarungan selama 54 minit untuk menyingkirkan lawan dari Korea Selatan itu.

Bagaimanapun, Zii Jia gagal memanfaatkan sokongan padu penonton apabila tumbang kepada pemain Indoesia, Shesar Hiren Rhustavito, 19-21, 21-19, 16-21 pada perlawanan selama 66 minit itu.

Mei Xing mengakui mereka sangat selesa sepanjang perlawanan menentang pasangan Korea itu kerana tidak ramai peminat memberi tumpuan kepada mereka.

“Penonton beri tekanan kepada Zii Jia, tidak pada kami, jadi kami rasa selesa main tadi,” katanya kepada pemberita selepas mengesahkan tiket ke suku akhir esok.

Menyifatkan prestasi hari ini sebagai antara yang terbaik dalam kerjaya mereka setakat ini, Mei Xing berkata mereka akan cuba bekerja keras untuk menambah baik permainan mereka seterusnya.

Pasangan ke-44 dunia itu akan menentukan tempat separuh akhir menentang pemenang pilihan kelima dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara atau pasangan Thailand, Supissara Paewsampran-Putita Supajirakul.

Anna-Mei Xing kini merupakan wakil tunggal negara dalam acara beregu wanita selepas beregu nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah dan Low Yeen Yuan-Valeree Sio, masing-masing tewas kepada beregu dari China.

Pearly-Thinaah kalah 9-21, 14-21 kepada Zhang Shu Xian-Zheng Yu manakala Yeen Yuan-Valeree terpaksa akur kepada beregu pilihan utama, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 12-21, 9-21.

– BERNAMA


Pengarang :