Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman (dua, kiri) bercakap ketika sidang media selepas pembentangan Laporan Kelestarian Air Selangor 2021 di The Vertical, Bangsar South City, Kuala Lumpur pada 30 Jun 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor peruntuk perbelanjaan modal RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2021

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) bernilai RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, paras Capex yang meningkat 240 peratus atau hampir empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya sejajar dengan pelaksanaan Skim Bekalan Air Rasau fasa satu.

“Tahun sebelumnya (2020), sebahagian besar Capex (perbelanjaan modal) digunakan untuk meningkatkan aset,” kata Suhaimi Kamaralzaman ketika membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2021 di The Vertical, Bangsar South City di sini hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata operator tunggal bekalan air itu merancang perbelanjaan berkaitan sebanyak RM30 bilion untuk tempoh 30 tahun bagi meningkatkan sistem perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program pelaburan itu termasuk mengurangkan kadar purata air tidak berhasil (NRW).

Dalam perkembangan lain, Suhaimi berkata pihaknya berjaya menyelesaikan terbitan RM1 bilion di bawah program Sukuk Murabahah RM10 bilion sedia ada.

Beliau menjelaskan terbitan itu meliputi terbitan sulung RM430 juta Sukuk Kelestarian Air Selangor (Sukuk SRI), manakala bahagian kedua RM570 juta Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana dalam empat siri dari tujuh hingga 20 tahun.

“Ini adalah bagi membiayai dan melaksana projek pelaburan lestari selari dengan pelaburan modal, strategi kelestarian dan matlamat pembangunan mampan kami,” katanya.


Pengarang :