BUDAYARENCANA

Lokomotif ke utara: Sebuah perjalanan waktu

Oleh Muhaimin Subki

Lokomotif ke utara membelah angin deru. Pemandangan di tepi tingkap menukari latar. Di sebelahku, Nani. Wanita 70-an bertudung krim yang fasih bahasa Inggeris. Nani menegur setelah aku duduk di kerusi 12A.
Sebelah tingkap. Kedudukan kegemaran. Pemandangan luar jendela selalu mengkhayalkan. Telinga disumbat ear-pod. Satu-persatu lagu yang telah disusun di playlist Spotify berputar. Mengasingkan diri. Menyisihkan suara-suara penumpang. Waktu bersendiri.

Aku keripuhan mengejar waktu berlepas kereta api pagi tadi. Berlari menggalas beg dan membimbit dufel ungu berat menelan kudrat. Aku surut daya. Nasibku baik tidak ketinggalan. Tidak terbayang jika itu berlaku. Tidak sanggup dibebel ibu.

Kepulangan kali ini paling bermakna kerana sudah dua tahun kami tidak beraya bersama-sama setelah terpaksa mendekam di kediaman dek perintah kawalan pergerakan oleh penguasa. Maka rehat terlalu menuntut. Lagipun, sejam dua selepas kereta api bergerak sangat membosankan. Aku, pemuda yang lesu upaya dengan kehidupan kota dan tekanan kerja, memilih melayan perasaan atau tidur berbanding berceloteh dengan sesiapa.

Nani di sebelahku. Perjalanan ini mengingatkanku kepada Profesor Naidu. Seorang lelaki 50-an berkulit hitam, berkot kelabu yang berada di sebelahku ketika perjalanan pulang ke universiti usai cuti semester. Kecuali kali ini Prof Naidu ialah Nani. Kecuali perjalanan kali ini perjalanan yang dirindukan.

Nani menegurku setelah berdehem-dehem melincirkan tekak beberapa kali, membetulkan papan punggung dan menjeda beberapa ketika. Kusyen yang diduduki sempat dihangatkan. Aku tahu Nani tidak betah diam lama-lama. Saat melangkah pintu jernih automatik gerabak E itu, aku melihat Nani bercakap-cakap dengan seorang penumpang lelaki lewat 40-an berkaca mata. Selayang pandang sudah terasa aura becok Nani. Bukan menghukum. Rumusanku hanyalah cerapanku. Nani aktif. Jarang orang tua mahu ke sana-sini, melangkaui beberapa baris kerusi dari tempatnya dan beramah dengan penumpang lain.

Awal-awal, Nani bertanyakan tentangku. Aku tahu itu strategi memecah kesunyian. Ear-pod ditanggalkan. Berbasa-basi aku menjawab: “Saya Abdullah Faisal, seorang peguam, bujang dan tinggal di ibu kota.
“Fasih betul cakap Inggeris. Slang, slang macam Mat Saleh.” Aku tersengih lantas mengucapkan sebingkis “Thank you”.

Mulai itulah perjalanan lokomotif ke utara itu tidak sunyi.

Nani wanita berdarah campuran India, Cina dan Siam dari jalur datuk, ibu dan ayahnya. Nani wadah aneka. Kerana itu kata Nani dia tidak ada masalah untuk bersahabat dengan pelbagai bangsa sungguhpun Nani muslim. “Nani dah biasa dengan variety.”

Aku memberitahu Nani bahawa pertemuan dengannya persis pertemuanku dengan Profesor Naidu. Profesor yang dicari sekian banyak syarikat korporat untuk hal-hal penataran sumber manusia. Profesor yang mengagumkanku kerana dapat menebak seluruh peribadiku dengan hanya tiga soalan aneh tentang pilihan idola, makanan kegemaran dan satu soalan yang aku tidak ingat sampai sekarang.

“Oh, ini semua takdir Tuhan. Nani sentiasa percaya Allah is the best planner. Nani berjumpa dengan Abdullah Faisal hari ini pun sebab takdir. See the blessings, see the blessings.” Nani membalas. Aku mengiyakan.

Di luar, cuaca cerah tenang. Kereta api menderu di landasan. Melepasi stesen-stesen yang tidak kuingati.
Nani menghidupkan telefon bimbit. Menatal-natal jika ada mesej daripada anaknya. Nani kemudian menunjukkan beberapa gambar anak dan menantunya sewaktu mengadakan makan-makan keluarga. Juga gambar bersama cucu-cucunya di London, Scotland dan Jerman.

“Nani mahu menunjuk-nunjuk.”

Aku geli hati. “Silakan,” kataku. “Apa salahnya.”

Ketika bercerita tentang zaman sekolahnya, Nani menunjukkan senarai WhatsApp-nya. “Ramai kawan Nani. Daripada sekolah pun ada. Tengok.” Aku memiringkan badan untuk melihat. Kadang-kadang menyuakan telinga kerana percakapan Nani terhalang pelitup mulutnya.

“Ini Fidelma.” Gambar Fidelma ditunjukkan. Seorang rahib dengan hidung bengkok dan wajah yang sedia pucat renta. Kata Nani, menjadi muslim di sekolah convent perempuan sungguh berbeza dulu dan sekarang.

“Zaman sudah berubah. Sekarang susah jadi jujur. Sensitif sangat,” kata Nani.

Aku setuju. Millenial tidak tahu setuju untuk bersetuju.

Nani menjeda. Cuba memahami, fikirku.

Selalu di fikiran cetekku, orang tua tipikal ialah manusia terkolot. Tetapi Nani cerdas. Bukan orang tua tipikal. Nani pendengar.

Aku melihat Nani mengelap mata kirinya yang berair dengan hujung tudung. Kelopak mata Nani jatuh. Aku curi-curi menjeling. Mata Nani ada lapisan kelabu. Aku pernah melihat netra itu. Persis milik gemulah nenek. Nani memberitahu dia malu dengan matanya sehingga bertemu pakar dan hampir membelanjakan 20 ribu ringgit untuk empat suntikan pembetulan yang memedihkan. Apabila doktor mengatakan tiada jaminan kekal, Nani mengatakan tidak berbaloi langsung. Aku membenarkan.

Berkali-kali dalam sela waktu perjalanan, Nani mengingatkan dia becok. “Nani memang banyak cakap. Dari dulu lagi begini. Orang muda mesti tak suka.” Bahu kanan dicubit manja. Nani ketawa. Aku menyambut. “Tak apa Nani, tak apa.”

“Dulu Nani debater. Tahu mana sekolah Nani?”

Aku menggeleng-geleng. Serta-merta mengaku menjadi katak di bawah tempurung. “Saya terlalu sibuk bekerja. Sedari graduasi belum pernah mengambil cuti.”

“Kau terlalu naif Abdullah Faisal. Tak apa. Nani doakan Abdullah Faisal diberikan kesempatan oleh Allah.”
Aku mengaminkannya sungguh-sungguh.

Waktu melaju. Kereta api bergerak melintasi bandar-bandar kecil dan vista alam lalu kemudian berhenti di Kampar. Satu lagi stesen untuk tiba di Ipoh. Ada penumpang yang turun. Nani sudah seperti habis idea untuk berbicara.

Kereta api bergerak semula. Melibas dedaun pohon yang menyentuh tubuh panjangnya. Yang mengitari antara kami kala itu hanyalah bunyi gesekan landasan dan ketuk-ketak gerabak.

Aku melihat Nani. Nani mengumam-gumam namaku berkali-kali.

Tidak lama kemudian, kereta api tiba di Batu Gajah. Nani memohon bantuan mengangkat bagasinya. “Awal lagi Nani,” aku mengingatkan. “Tak apa. Siap-siap awal. Nani risau terlepas.” Aku menghormati pilihan Nani. Enggan berdebat. Bagasi Nani diturunkan dari ruangan khas di bahagian atas gerabak seusai penumpang turun.

Kereta api kembali berjalan. Pintu kaca automatik dibuka. Aku membawa bagasi Nani dan meletakkan di tengah gerabak perantara. Dingin gerabak mencengkam.

Hampir setengah jam aku menemani Nani sebelum kereta api mula perlahan. Suara pengumuman berkumandang: “Stesen Ipoh.” Aku mengucapkan selamat tinggal dan berterima kasih atas segala pesan.

“Sama-sama. Nani doakan segala doa Abdullah Faisal dimakbulkan. Sabar, sabar dan tunggu.” Aku mengaminkan sebelum kaki melangkah pintu jernih automatik koc E itu. Aku berlalu ke tempat duduk dengan dada sebu.

Pintu gerabak terbuka. Nani turun. Susuknya terkedek-kedek membimbit bagasi. Nani berjalan pergi. Pintu tertutup. Kereta api menggesek landasan. Perlahan-lahan berjalan kemudian melaju membelah angin deru.

Aku kembali duduk. Melempar pandangan ke luar tingkap. Di sebelahku kosong. Aku merindui gemulah nenek. Tetapi kami telah saling meninggalkan. Kami takkan lagi bertemu. Kami pulang dibawa waktu. Yang tidak pernah berhenti. Yang kekal maju. Takkan pernah kembali lagi.

 


Pengarang :