KUALA LUMPUR, 29 JUN: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah melepasi halangan pertama selepas menyingkirkan Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting dari China pada perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022, hari ini.
Pada perlawanan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, pasangan negara bermula sedikit goyah sebelum menamatkan set pertama dengan 22-20.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah yang mula selesa dengan gelanggang beraksi dengan lebih yakin menoktahkan kemenangan 21-13, untuk melangkah ke pusingan kedua.
Ketika ditemui pemberita, Pearly mengakui kurang gembira dengan corak permainan mereka terutama dalam menyesuaikan diri dengan gelanggang.
Pearly tekad untuk lebih garang dan bermain dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya esok, berdepan sama ada pilihan ketujuh dari Thailand Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai atau Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China.
– BERNAMA