Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Petaling Jaya catat 100 kes denggi dalam tempoh seminggu

SHAH ALAM, 29 JUN: Sebanyak 100 pertambahan kes demam denggi dilaporkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam tempoh seminggu.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata berlaku peningkatan sebanyak 18 peratus sejak 12 Jun berbanding 85 kes minggu sebelumnya.

“Jumlah kes demam denggi ini sekali gus melonjak kepada 1,874 kes membabitkan 21 lokaliti wabak terkawal diikuti 14 (tidak terkawal) dan lima (titik panas).

“Susulan peningkatan kes ini, MBPJ telah melakukan kawalan dan pencegahan dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di 12,391 premis termasuk menganjurkan pelbagai program kesedaran,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohamad Azhan, MBPJ turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang bersalah dengan mengeluarkan sebanyak 133 kompaun diikuti 16 notis dan dua penutupan tapak binaan.

Pada 15 Jun lalu, EXCO kesihatan awam memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan projek rintis dengan mengimplementasi teknologi baharu bagi pemantauan lokasi denggi secara efisien.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata projek itu membabitkan penggunaan dron dan pembangunan aplikasi pengesanan titik panas wabak yang boleh diakses orang awam melalui peruntukan RM5 juta.


Pengarang :