Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sultan tegaskan tiada sekatan hadir Bon Odori hingga kajian selesai

SHAH ALAM, 17 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor tidak menghalang umat Islam menghadiri festival kebudayaan Jepun Bon Odori sehingga kajian mendalam dibuat.

Menurut kenyataan setiausaha sulit Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Baginda berpandangan acara yang berlangsung di negeri ini hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“DYMM Tuanku hanya menyatakan tentang pendirian Baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Selangor yang pada pandangan Baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata,” kata Dato’ Mohamad Munir Bani.

“Baginda juga tidak mengalang mana-mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.”

Mohamad Munir turut menjelaskan kenyataan seorang pemimpin politik seperti dilapor portal berita semalam mengenai Baginda adalah “tidak tepat sama sekali dan tidak sebenarnya berlaku” pada majlis menghadap tersebut.

Pada 15 Jun, seorang pemimpin politik pembangkang di negeri ini dilaporkan dititah menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan berhubung kenyataan menteri menggesa umat Islam tidak menghadiri acara tersebut.

Dalam sesi menghadap itu, beberapa Ahli Dewan di-Raja Selangor iaitu Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj dan Dato’ Setia Salehuddin Saidin turut hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada 6 Jun dilaporkan meminta umat Islam tidak menghadiri festival tersebut kerana didakwa mempunyai unsur keagamaan lain.


Pengarang :